Hibah

HIBAH

Keluarga merupakan asas masyarakat, namun isu pembahagian harta pusaka sering menimbulkan pertikaian dalam kalangan waris. Walaupun sistem faraid telah disyariatkan sebagai panduan, kelewatan dan kejahilan dalam melaksanakan pembahagian harta menyebabkan timbul pelbagai masalah. Islam menyediakan alternatif melalui konsep hibah, iaitu pemberian harta semasa hidup atas dasar kasih sayang dan tanpa mengharapkan balasan.

  • Maksud Hibah

Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan Hibah bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik semasa si pemberi masih hidup. Istilah “hibah” merujuk kepada memberi aset kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. Ia adalah pemberian oleh sebelah pihak yang memberi hibah dan penerimaan oleh sebelah pihak yang menerima hibah.

  • Bidang Kuasa

Bidang kuasa hibah berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, jadi hakim Mahkamah Syariah akan menentukan sebarang pertikaian yang berkaitan dengannya.Walaupun merancang harta melalui instrumen Hibah sangat disukai oleh masyarakat Islam Malaysia, tiada peruntukan statutori khusus mengenai Hibah. Oleh itu, apabila mereka menangani kes hibah, hakim merujuk kepada pendapat jumhur serta keputusan kes terdahulu.

 

  • Rukun-rukun Hibah
    1. Pemberi Hibah
  • Mestilah seorang pemilik harta hibah secara penuh.
  • Akil baligh, waras dan sempurna akal
  1. Penerima Hibah 
  • Mempunyai keupayaan memiliki harta tidak kira mukallaf ataupun bukan mukallaf 
  1. Akad (Ijab dan Kabul)
  • Lafaz bagi menyempurnakan pemberian dan penerimaan Hibah.
  1. Harta Hibah
  • Harta tersebut perlu datang daripada sumber yang halal dan diiktiraf oleh hukum Islam. 
  • Sesuatu yang bernilai menurut syarak serta dimiliki sepenuhnya oleh pemberi hibah. 
  • Boleh dipindahkan hak miliknya kepada orang lain dan wujud ketika hibah dibuat. 
  • Tidak boleh mempunyai penamaan atau nomination yang boleh menimbulkan pertikaian hak milik. 

 

  • Jenis-jenis Hibah
  1. Hibah Mutlak
    1. Hibah mutlak ini adalah hibah serta merta yang memberikan harta. Hak milik harta Hibah diberikan kepada penerima serta merta dan sepanjang hayat penerima. Oleh itu, harta Hibah ini tidak lagi dimiliki oleh pemberi Hibah.
  1. Ini bermakna jika Penerima Hibah meninggal dunia sebelum orang lain, harta itu menjadi milik sepenuhnya beliau dan tidak boleh dikembalikan kepada Pemberi Hibah.
  1. Hibah Bersyarat
    1. Sebaliknya, dalam hibah bersyarat, pemberi hibah boleh menetapkan syarat tertentu secara bertulis, seperti menetapkan bahawa pemilikan harta hanya akan berpindah kepada penerima selepas kematian pemberi. 
    2. Selain itu, sekiranya penerima hibah meninggal dunia terlebih dahulu, harta tersebut boleh dikembalikan kepada pemberi untuk diberikan kepada penerima lain. 
    3. Walau bagaimanapun, isu hibah bersyarat ini masih memerlukan perbincangan yang lebih mendalam kerana terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan hakim syarie mengenai kesahihannya, yang berpunca daripada perbezaan pendapat fuqaha serta persoalan sama ada hibah bersyarat mempunyai kedudukan yang setara dengan hibah mutlak.
  • Kadar Hibah

Pemberi hibah tidak dihalang oleh had nilaian tertentu. Pemberi boleh menghibahkan sebahagian atau keseluruhan harta beliau kepada penerima.

 

  • Manfaat Hibah

Hibah memberikan manfaat besar dalam pengurusan harta pusaka kerana ia dapat mengelakkan harta daripada menjadi beku selepas kematian pemberi. Dengan hibah, harta dipindahkan semasa hidup dan tidak lagi termasuk dalam pusaka, sekali gus mengurangkan risiko pertikaian antara waris serta kelewatan dalam proses pentadbiran. Ia juga memberi fleksibiliti kepada pemilik harta untuk menentukan penerima, sama ada waris terdekat, anak angkat, pasangan, atau pihak lain seperti Baitulmal dan NGO, tanpa terikat kepada had tertentu seperti wasiat.

Selain itu, hibah berperanan sebagai instrumen perancangan harta yang lebih sistematik dan praktikal. Ia bukan sahaja melengkapkan sistem faraid, tetapi juga membantu menjaga kebajikan pemberi dan penerima dengan syarat tertentu yang boleh ditetapkan. Hibah turut memupuk kasih sayang dalam keluarga kerana pemberian dilakukan atas dasar rela hati dan keikhlasan, selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan pemberian hadiah sebagai tanda kasih sayang. Dengan itu, hibah bukan sekadar mekanisme undang‑undang, tetapi juga satu cara untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat.

No Comments

Post A Comment