HAK SUAMI ISTERI MEMBUAT TUNTUTAN SELEPAS PERCERAIAN

Dalam sistem kekeluargaan Islam, hubungan antara suami dan isteri tidak semestinya terputus sepenuhnya selepas berlakunya perceraian. Walaupun perkahwinan telah berakhir dengan lafaz talak, Islam masih menyediakan peraturan yang bertujuan melindungi hak kedua-dua pihak serta menjaga kebajikan anak-anak. Selepas perceraian berlaku, terdapat beberapa hak yang boleh dituntut oleh bekas suami atau isteri melalui Mahkamah Syariah. Tuntutan ini bertujuan memastikan kepentingan dan kebajikan bekas pasangan serta anak-anak terus terpelihara.

NAFKAH IDDAH

Nafkah yang mesti diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya semasa tempoh iddah selepas perceraian dikenali sebagai nafkah iddah. Selaras dengan ketetapan Hukum Syarak, nafkah ini termasuk keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. 

Tuntutan nafkah “iddah” boleh dikemukakan selepas perceraian difailkan, dan kebanyakan isteri akan mengemukakannya selepas perceraian disahkan. Setelah proses perceraian selesai dan pihak berkuasa mengeluarkan surat perakuan perceraian atau sijil cerai, permohonan nafkah “iddah” boleh difailkan. Penuntut mesti membuktikan tuntutan mereka dengan bukti yang mencukupi, seperti resit perbelanjaan pengajian anak-anak, rawatan perubatan, dan dokumen lain yang berkaitan.

MUT’AH

Mut’ah merupakan bayaran yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri yang diceraikan tanpa alasan yang munasabah menurut Hukum Syarak. Jumlah bayaran mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan antara kedua-dua pihak. Sekiranya berlaku pertikaian mengenai jumlah tersebut, Mahkamah Syariah akan membuat keputusan tentang kadar yang bersesuaian.

Antara punca-punca yang menyebabkan suami wajib membayar mutaah ialah talaq, li’an, suami murtad, dan fasakh nikah kerana aib suami yang berlaku sebelum akad nikah. Hakim mempunyai kuasa untuk menentukan kadar mut’ah yang sesuai sekiranya berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak. Hakim akan melihat pelbagai perkara apabila membuat keputusan ini, seperti keadaan kewangan suami, sama ada dia kaya atau miskin, dan sifat dan kedudukan isteri. 

Walau bagaimanapun, hak untuk menuntut mut’ah boleh gugur dalam keadaan tertentu, antaranya apabila isteri didapati nusyuz (tidak taat suami), isteri diceraikan sebelum berlaku persetubuhan sedangkan mas kahwin telah ditetapkan dalam akad nikah, salah satu pihak murtad, atau perceraian berlaku secara khulu’ iaitu tebus talak.

HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian merujuk kepada harta yang diperoleh secara bersama oleh suami dan isteri sepanjang tempoh perkahwinan. Harta ini boleh meliputi wang tunai, harta alih, harta tidak alih atau sebarang aset yang diperoleh hasil sumbangan bersama. Kedua-dua pihak mempunyai hak untuk menuntut pembahagian harta sepencarian melalui Mahkamah Tinggi Syariah.

Hak terhadap harta sepencarian hanya boleh diperoleh melalui tuntutan di Mahkamah Syariah, sama ada dalam keadaan perceraian, kematian pasangan atau poligami. Mahkamah akan menilai sumbangan setiap pihak sebelum mengeluarkan perintah pembahagian harta.

Dalam membuat keputusan, mahkamah akan mengambil kira tempoh perkahwinan serta tahap sumbangan pasangan, dan penuntut perlu mengemukakan bukti atau saksi bagi menyokong tuntutan tersebut. Walau bagaimanapun, caruman wang KWSP tidak dianggap sebagai harta sepencarian kerana ia merupakan hak milik peribadi pencarum dan akan dibahagikan sebagai harta pusaka mengikut hukum faraid.

HAK JAGAAN ANAK (HADHANAH)

Hadhanah merujuk kepada hak penjagaan anak yang masih kecil dan belum mampu menguruskan dirinya sendiri. Mengikut Hukum Syarak serta undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu biasanya diberikan keutamaan untuk menjaga anak-anak yang masih kecil, iaitu di bawah umur tujuh tahun bagi anak lelaki dan sembilan tahun bagi anak perempuan. Jika anak telah melepasi had umur tersebut dan berlaku pertikaian berkaitan hak penjagaan, Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan pilihan anak atau kepentingan terbaik bagi mereka.

Namun begitu, hak hadhanah ibu boleh gugur dengan sebab-sebab tertentu seperti 

  1. Ibu berkahwin semula
  2. Menunjukkan tingkah laku yang tidak baik, 
  3. Berpindah tempat tinggal dengan tujuan menyukarkan atau menghalang bapa daripada menjalankan pengawasan terhadap anak, 
  4. Ibu keluar daripada agama Islam (murtad)
  5. Mengabaikan serta menganiaya anak yang berada di bawah jagaannya.

NAFKAH ANAK

Nafkah anak ialah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh bapa bagi menampung keperluan anak-anak walaupun selepas perceraian berlaku. Nafkah ini merangkumi perbelanjaan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan rawatan perubatan mengikut kemampuan bapa.

Kewajipan seorang bapa untuk menanggung nafkah anak tidak terhenti walaupun selepas berlakunya pembubaran perkahwinan antara suami dan isteri. Para ulama bersepakat bahawa anak yang layak menerima nafkah ialah anak yang tidak mempunyai harta sendiri untuk menampung kehidupannya serta tidak berupaya mencari sumber pendapatan bagi menyara diri.

TUNGGAKAN NAFKAH

Tunggakan nafkah merujuk kepada nafkah yang sepatutnya diberikan oleh suami kepada isterinya sepanjang tempoh perkahwinan tetapi tidak dilaksanakan. Nafkah tersebut dianggap sebagai hutang yang perlu dijelaskan oleh suami dan boleh dituntut melalui Mahkamah Syariah. Seorang isteri tidak perlu menunggu proses perceraian untuk menuntut nafkah tertunggak daripada suaminya.

HAK TEMPAT TINGGAL

Seorang wanita yang telah diceraikan juga berhak untuk terus tinggal di rumah yang pernah didiaminya bersama suami sepanjang tempoh eddah. Hak ini diberikan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan bekas isteri terjamin selepas perceraian.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, walaupun perceraian menamatkan hubungan perkahwinan antara suami dan isteri, Islam tetap memberikan perlindungan terhadap beberapa hak penting bagi memastikan kebajikan semua pihak terpelihara. Melalui tuntutan yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah, bekas pasangan berpeluang mendapatkan hak masing-masing secara adil dan teratur selaras dengan prinsip keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.

No Comments

Post A Comment